Wahai anakku,
Bilamana manusia merasa akalnya lebih hebat dari wahyu, itu adalah langkah ke arah kesesatan. Janganlah kamu merasa hebatnya pandangan yang bertentangan dengan wahyu, walau ia kelihatan begitu sekalipun. Kerana itu hanya bersifat semenatara. Hebatnya cahaya bulan hanya sementara matahari belum terbit. Bilamana terbit matahari hilanglah cahayanya. Demikian hebatnya pandangan akal, sementara tidak bertentangan dengan wahyu, bilamana zahir kebenaran wahyu, hilanglah hebatnya akal.
Wahai anakku,
Janganlah kamu teruja dengan sanjungan ribuan manusia kepadamu, seandainya Allah langsung tidak memandangmu. Kerana sanjungan manusia akan lenyap dengan satu kesalahanmu. Di waktu lenyapnya sanjungan manusia kerana kesalahanmu, Allah masih membuka pintu taubat kepadamu.
Kerana itu wahai anakku, janganlah kamu tenggelam dalam sanjungan makhluk kerana merasa hebatnya kamu. Tetapi biarlah kamu tenggelam dalam kasihsayang Tuhanmu walaupun di ketika kamu hanya bersendirian.
Wahai anakku,
Ada orang yang hebat disanjung di bumi, namun ia tidak dikenali oleh Malaikat di langit. Ada orang yang langsung tidak dikenali di bumi, tetapi semua malaikat mengenalinya. Lantaran itu jadilah kamu orang yang dikenali di bumi dengan ketaatanmu, agar kamu terus dikenali oleh para malaikat Allah. Dan jangan sesekali kamu tidak dikenali oleh manusia di bumi, dan tidak dipeduli oleh Malaikat di langit.
Wahai anakku,
Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Kelebihanmu bukan untuk engkau sombong dengannya dan menghina orang yang kurang darimu. Namun janganlah engkau dukacita di atas kekuranganmu, kerana Allah tidak menghinamu kerana kekurangan itu.
Wahai anakku,
Orang yang buta matanya akan jadi hebat bilamana mata hatinya celik. Orang yang pekak telinganya, akan jadi hebat bilamana ia boleh tunduk kepada wahyu Tuhannya. Kerana itu kenalilah apakah kelebihan yang Allah kurniakan kepadamu, agar kamu boleh gunakannya kepada keredhaan Tuhanmu. Kenalilah apa pula kelemahanmu, agar musuh tidak mengambil kesempatan dari kelemahan itu.
No comments:
Post a Comment