SAYANG kepada dunia melebihi segala-galanya. Itulah ‘al-Wahn’ iaitu penyakit memiliki nafsu besar terhadap kehidupan di dunia sehingga melupakan akhirat yang menjadi destinasi terakhir kita.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hidup di dunia, tidak lain hanya suatu kesenangan dan permainan. Sesungguhnya kampung akhiratlah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut ayat 64).
Kematian pula adalah satu perkara pasti. Semua orang akan menghadapinya pada bila-bila masa dan di mana saja. Jadi, bersedialah… Lantas, apakah kita akan berdiam diri melihat umat yang semakin hari semakin jauh daripada tuntutan Allah dan Rasulnya? Itu menjadi petunjuk bagaimana generasi kini mengangkat kehidupan dunia sebagai syurga mereka.
Lalai menjalankan suruhan Allah, terlalu sibuk dengan urusan mencari kekayaan dan mementingkan diri sendiri, akhirnya menjadikan mereka hamba kepada dunia.Ingatlah dunia hanya pinjaman bagi menguji keimanan bagi menentukan kita ke syurga atau neraka. Ada golongan yang hanya memikirkan kehidupan dunia dan mencari kekayaan tanpa mengenal halal haram.
Mengenai penyakit cinta kepada dunia, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi bersabda: “Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).
Jika kita tidak mempunyai matlamat, malas berusaha memperbaiki diri, gemarkan keseronokan, mencari harta dunia untuk dibolot seorang diri, hasad dengki, malas menimba ilmu, rendah akhlak serta gila merebut kuasa adalah tanda seseorang itu hamba kepada dunia.
Menjadi keutamaan umat Islam sekarang membina semula kekuatan yang bertunjangkan keimanan dan akidah. Tiada nilainya jika kita semua berbangga memiliki jumlah umat yang ramai tetapi ramai yang tidak berkualiti dan bernilai.
Usaha pembinaan peribadi Muslim berkualiti penting untuk mengembalikan semula kedudukan Islam di tempat yang tinggi.
Dalam hadis, Rasulullah menjelaskan pada suatu masa nanti, semakin ramai manusia yang hatinya terpaut kepada dunia. Hadis itu bermaksud: “Akan datang kepada umatku suatu zaman, di mana mereka lebih cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara lain iaitu cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat; cinta kepada harta dan lupa kepada hari hisab (perhitungan); cinta kepada makhluk dan lupa kepada penciptanya, cinta kepada dosa dan lupa kepada taubat, cinta kepada mahligai dan lupa kepada makam (kuburan).”
Dunia yang didiami manusia ini akhirnya nanti pasti lenyap dan binasa manakala yang terus kekal abadi adalah kehidupan di akhirat.
Allah memberikan kepada hamba-Nya pelbagai bentuk nikmat dan kesenangan. Mereka yang dianugerahkan kemewahan perlu menghayati dan mensyukuri nikmat itu untuk dimanfaatkannya ke jalan kebaikan bagi mendekatkan diri kepada Allah.
Muslim sejati perlu memiliki jiwa tidak terlalu mencintai dunia hingga gagal mempersiapkan bekalan secukupnya untuk ‘menemui’ kehidupan akhirat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bercita-citakan kehidupan akhirat, maka Tuhan menjadikan kekayaan dalam hatinya, dihimpunkan segala kepentingannya dan diberikan kepadanya kenikmatan hidup ini seberapa perlunya. Sesiapa bercita-citakan kehidupan dunia, Allah menjadikan kemiskinan antara dua matanya, dipisahkan daripadanya apa yang menjadi keperluannya dan tidak diberikan kepadanya kenikmatan hidup dunia kecuali apa yang sudah ditentukan.” (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Dalam pemilikan harta contohnya, Islam tidak menghalang umatnya mencari harta sebanyak-banyaknya tetapi caranya mesti halal, bukan seperti Qarun dan Firaun yang sanggup menyekutukan Allah.
Harta adalah amanah daripada Allah. Ia perantara atau alat kepada kita bagi mendekatkan diri kepada Allah dan mewujudkan perhubungan antara manusia.
Sebenarnya harta kekayaan adalah anugerah dan hak mutlak Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah dengan kemampuan dan hak yang terbatas.
No comments:
Post a Comment