Walid ku seorang yang garang, tegas dan suka membuat keputusan. Mami pula seorang yang tidak suka kecoh dan kurang bercakap.
Di rumah, tiada pergaduhan atau pertengkaran, segala yang Walid decide, kami patuh sahaja. Aku dan lima beradik tidak berani melawan. Mami pun tidak melawan.
Pada Mami pun, Walid suka membuat keputusan.
Jika Mami suka beg A, Walid jarang akan bersetuju dan akan belikan beg B yang lebih baik.
Jika Mami perlu kereta kancil, Walid belikan kereta yang lebih baik.
Aku risau Mami tak gembira dengan Walid, seolah-olah pandangan Mami tidak dihormati.
“Jangan risau. Jangan nilai perkara bila dalam kesenangan. Sebatang lobak nampak keras, bila terkena api dan air mendidih, dia menjadi lembik. Sebiji telur nampak lembut, tapi bila terkena api dan air mendidih, dia menjadi kuat,” jawab Mami.
Satu hari, Walid jatuh sakit dan terpaksa masuk hospital.
Ada saluran darah tersumbat kena melakukan angioplasty.
Dalam keadaan Walid yang lemah, Walid sentiasa memanggil untuk Mami.
Walid tidak mahu anak-anaknya menyuapkan makanan kepadanya, Walid hanya mahu Mami menyuapkannya.
Walid juga tidak mahu anak-anaknya melapkan badannya, Walid hanya mahu Mami melakukannya.
Walid juga tidak mahu anak-anaknya membeli makanan mahupun suratkhabar atau majalah untuknya, Walid hanya mahu Mami melakukannya.
“Walid nak makan apa hari ini,” aku bertanya. Sepuluh kali soalan, sepuluh kali Walid akan menjawab, “Mami akan tentukan.”
Mami hanya menyuruh kami menjaga rumah dan membantu membersihkan rumah tatkala Mami menjaga Walid.
“Mami, susah Mami, Walid tak bagi kita jaga Mami, tapi nak Mami sahaja yang bersusah-payah di hospital,” aku merungut.
“Mami tak rasa letih dan penat. Malah Mami rasa sangat bersemangat. Inilah Walid yang sebenar – kesayangannya pada Mami dapat dilihat dengan jelas dalam kepercayaan penuh Walid kepada Mami untuk menentukan segalanya untuk dia sepertimana Mami mempercayai segala pilihan dia ketika waktu biasa adalah yang terbaik untuk Mami,” terang Mami.
“Itulah cara Mami dan Walid hidup bersama. Kepercayaan dan kesayangan antara kami utuh. Dalam kesusahan, perkara ini lebih terserlah, makin terserlah cinta antara Walid dan Mami,” tambah Mami lagi.
Aku hanya mendengar. Walid yang ketiduran tiba-tiba membuka mata memandang Mami dan tersenyum.
Walid mendengar apa yang disebut Mami tadi dan memegang tangan Mami.
“Abang tidur balik, nanti doktor datang. Cepat sembuh, ayang tak puas lagi hidup dengan abang,” kata Mami sambil menepuk belakang Walid.
Aku terharu dengan hubungan Mami dan Walid, ayahku tercinta.
Akhirnya aku faham, telur dan lobak yang dimaksudkan Mami. Antara suami-isteri, bila lobak menjadi lembik, seorang lagi harus menjadi telur yang mengeras untuk saling menyokong antara satu sama lain ketika situasi menjadi mencabar. Mereka saling memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan saling menyokong dan membantu untuk mencapai kebahagiaan yang diidamkan.
Sekadar berkongsi cerita untuk renungan.
No comments:
Post a Comment