Kita boleh melihat
bahawa kalimat insya-Allah merupakan sunnah nabi-nabi terdahulu yang diwariskan
kepada umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, kalimat ini bukan perkara ringan, malah
ia mengandungi makna yang sangat penting untuk disedari.
Secara
harfiah, kalimat insya-Allah bermakna jika Allah menghendaki. Ucapan ini
melambangkan kesedaran hamba akan hakikat dirinya yang serba kekurangan dan
jahil. Sekali gus mengiktiraf kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa dalam
menentukan setiap yang berlaku di alam semesta ini.
Sepandai manapun
seorang manusia, ia hanya boleh merancang dan berharap. Allah jua yang akan
menentukan apakah rancangan dan harapan itu boleh terlaksana ataukah
tidak?
Ucapan insya-Allah ini mencerminkan pengakuan atas kelemahan diri
dan ketergantungan kepada belas kasih tuhannya agar selalu membantu dalam setiap
keinginan dan niatnya.
Siapa yang selalu menyedari kelemahan dirinya,
Allah akan selalu hadir dalam hidupnya. Dan siapa yang merasa dirinya serba
cukup dan berkuasa atas segalanya, ia akan lupa diri dan berakhir seperti Firaun
dan Namruz yang mengaku diri sebagai tuhan.
Berkata Imam al-Syafi'i:
"Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari
sifat ini, dia akan beroleh istiqamah dalam beribadat kepada Allah."
Jadi
betullah kalimat ini bukan perkara yang boleh dijadikan alasan untuk
dipermain-mainkan?
Ya, jelaslah ucapan insya-Allah
sama sekali bukan alat untuk melepaskan tanggungjawab atau alasan untuk tidak
menepati janji. Sebagai seorang Muslim, janji adalah hutang yang mesti kita
tunaikan. Ucapan ini juga bukan kalimat alternatif untuk menolak secara halus
permintaan pihak yang ingin kita jaga hatinya.
Sebaliknya, insya-Allah
lebih sesuai difahami sebagai kata-kata jaminan bahawa janji yang telah terucap
akan terlaksana dengan baik. Sebab siapa yang berjanji dengan niat
sungguh-sungguh untuk melaksanakannya, sambil menyerahkan perkara itu kepada
Allah, bantuan daripada Allah SWT akan datang untuk mewujudkan janji
tersebut.
Dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW
pernah bercerita: Nabi Sulaiman bin Dawud berkata: Malam ini aku akan mendatangi
90 orang isteri-isteriku. Setiap daripada mereka pasti akan melahirkan seorang
pejuang di jalan Allah.
Malaikat berkata kepadanya: katakanlah
insya-Allah. Namun Nabi Sulaiman tidak mengucapkan kalimat ini. Akhirnya, tidak
ada seorangpun daripada isteri-isterinya itu yang melahirkan anak. Hanya seorang
isteri yang melahirkan, namun anak itu cacat dan tidak sempurna.
Bersabda
Nabi SAW: Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai beliau mengucapkan:
insya-Allah, nescaya isteri-isterinya itu akan melahirkan anak-anak yang
berjuang di jalan Allah.
Berkata Ibnu Battal Al-Maliki: "Hadis ini
mengandungi pengajaran bahawa sesiapa yang mengucapkan insya-Allah, sambil
menyedari kelemahan dirinya dan meminta bantuan daripada Allah, maka besar
kemungkinan ia akan memperoleh apa yang diharapkannya."
Maka menjadi
kewajiban kita merubah kekeliruan ini dengan memulainya dengan diri kita
sendiri. Pastikan selalu kalimat insya-Allah diucapkan setiap kali
berjanji.
Selepas itu berusahalah sedaya upaya untuk menepati janji
itu sambil meminta bantuan daripada Allah SWT. Jika semua ini kita lakukan, maka
bantuan daripada Allah akan sentiasa mengalir untuk kita.
Kalau bukan
kita yang merubah persepsi negatif tentang Islam dan kaum muslimin, maka siapa
lagi?
No comments:
Post a Comment